18/6/2010
Nur Syafiqah Bte Samsuddin
Darjah 6
Sekolah Perempuan Haig
Penyesalan
“Dinaz mesti janji kepada Ayah. Sebelum Ayah menghembuskan nafas terakhir. Ayah mahu Dinaz berjanji akan kembali ke pangkal jalan. Dinaz sebenarnya anak yang baik dan cerdik. Dinaz mesti sambung belajar, kalau boleh hingga ke menara gading. Jangan sesekali berputus asa jikalau menghadapi cabaran,” kata ayahku dengan nada yang perlahan dan tersekat-sekat.
“Ya, Ayah! Dinaz janji!” aku mengangguk-anggukkan kepala lalu mencium dan menatap wajah ayahku yang toreh tak berdarah itu. Ayahku menutup matanya. Aku tahu pejaman itu buat selama-lamanya. Juraian air mata mula mengalir ke lurah pipiku. Tiada guna menyesali takdir. Aku harus tabah dan redha dengan ketentuan Illahi. Setidak-tidaknya aku dapat berada di sisi ayah di saat-saat akhirnya.
Aku merupakan anak emas dalam keluargaku. Sebagai anak tunggal, ibu dan ayah terlalu menyayangiku, bagai menatang minyak yang penuh. Kedua-dua ibu bapaku bekerja, jadi kehidupan kami agak mewah. Apa sahaja yang aku kehendaki pasti diberi. Malangnya, kesibukan membuat mereka jarang melekat di rumah. Aku pula tidak betah duduk di rumah sendirian. Pengaruh kawan-kawan membuatku hilang arah.
Hari demi hari, aku menjadi semakin nakal. Dari hanya berjalan-jalan di pusat membeli-belah, aku cuba-cuba merokok. Kemudian aku mula ponteng sekolah walaupun peperiksaan G.C.E. peringkat ’O’ hampir menjelang. Teman-teman kolong blok ku, Ryan, Iffah dan Adam mengenalkan aku kepada najis dadah. Kami kerap mengunjungi kelab-kelab malam dan pulang mabuk. Air neraka menjadi minuman kegemaranku. Semua ini amat menyeronokkan. Ibu bapaku mula perasan akan perubahan pada anak kesayangan mereka. Mereka cuba menasihatiku tetapi semuanya ibarat mencurah air ke daun keladi. Aku sudah jauh menyimpang. Kata-kata mereka aku balas dengan tengking dan herdik. Aku lari dari rumah untuk terus berfoya-foya dan berseronok sehinggalah pada suatu malam ...
”Lari! Lari! Polis!” bulu romaku meremang mendengar teriakan Iffah. Bagai lipas kodong aku berlari bertempiaran mencari tempat untuk bersembunyi di dalam kegelapan malam. Rancangan merompak kedai telefon bimbit itu memang tidak aku setujui. Akibat desakan Ryan dan kekurangan wang untuk membeli dadah, aku terpaksa turutkan juga. Kini tiada apa yang boleh aku lakukan melainkan terus berlari. Tiba-tiba kakiku menjadi lemah longlai tidak bertenaga. Aku tersungkur. Dua orang pegawai polis meluru dan mencekupku. Tanganku digari dan aku ditolak masuk ke dalam sebuah kereta polis yang sedang sabar menanti kemunculanku. Aku menangis ketakutan.
Ibu bapaku diberitahu tentang nasib yang menimpaku. Hati mereka hancur luluh, bagai kaca terhempas ke batu. Hari-hari yang mendatang aku lalui dengan berulang-alik ke balai polis untuk disoal-siasat dan turun-naik mahkamah. Kedua orang tuaku sentiasa di sisiku, memberi semangat. Akhirnya, aku dijatuhkan hukuman. Selama dua tahun, aku akan meringkuk di pusat pemulihan.
Aku amat menyesali perbuatanku. Dari berita yang aku terima, ketiga-tiga teman yang bersengkokol denganku turut ditangkap. Barangkali ada hikmah di atas penangkapan ini. Setiap detik yang aku lalui di rumah baruku ini aku hadapi dengan tabah. Apatah lagi dengan sokongan ibu dan ayah yang tidak pernah jemu melawat dan memberi nasihat.
”Dinaz!” suara lantang seorang pegawai memanggilku sedang aku berbaris dengan tahanan lain di bawah terik mentari. Aku bergegas ke arahnya. Dengan nada suara yang diperlahankan dan seakan-akan berbisik dia memberitahuku ringkas, ”Cepat bersiap. Kita akan ke hospital. Ayah awak sakit kuat.”
Deraian airmata tidak dapat ku kawal sejak dari tadi. Dengan tangan bergari, aku melangkah masuk ke wad ayah. Semua mata seperti memandang sinis ke arahku. Aku hanya menundukkan kepala dan tidak menghiraukan orang di sekelilingku. Aku menahan pilu melihat tubuh layu ayah dipenuhi dengan bermacam wayar dan tiub. Ayah tersenyum lemah bila melihatku. Dia kelihatan sangat uzur. Ibu yang sedang membaca surah Yasin di samping ayah segera memelukku erat. Katanya, sakit jantung yang dihadapi ayah sejak aku lari meninggalkan rumah setahun yang lalu memang mereka rahsiakan. Mereka tidak mahu aku bersusah hati.
Memang terlalu banyak pengorbanan ibu bapaku. Akulah anak derhaka yang tidak tahu mengenang budi, tidak tahu menghargai jasa. Aku benar-benar insaf. Ayah seperti memberi isyarat kepadaku supaya duduk di kepala katil di sisinya. Dengan suara terketar-ketar, dia menyebut namaku. ”Dinaz, dengar nasihat ayah. Dinaz satu-satunya waris ayah. Ayah mahu Dinaz berjanji akan kembali ke pangkal jalan ...”
Sebaik sahaja ayahku habis memberi nasihat dia pun pergi buat selama-lamanya. Segala airmata yang mengalir tidak akan dapat membasuh dosaku. Kenangan pahit ini tidak akan aku lupakan. Barangkali ada hikmah di sebalik segala yang terjadi. Aku berasa insaf dan berazam untuk menjadi seorang insan yang lebih berguna. Masih belum terlambat bagiku untuk berubah. Kata-kata ayah akan aku jadikan pedoman dan pembakar semangat dalam menharungi liku-liku kehidupan.
Showing 1 - 1 of 1
Today: 2010-09-05, 13:02PM (All times are GMT +08:00)