Dalam mengarusi hidup yang penuh pancaroba,
Aku mula melihat kini ketulusan kasihmu dan kekuatan imanmu dalam membina sebuah rumahtangga yang kau harap akan dapat dipersembahkan dengan baiknya kepada yang Esa.
Ujianmu tidak kecil, tetapi kau tahu jika tugas tidak dilaksana dengan baik, kau akan berdepan dengan perkiraanNya.
Di saat ini, ketika aku sudah merasai sendiri betapa besarnya perjuangan untuk menghadirkan seorang lagi insan di muka bumi ini, baru aku tahu pengorbananmu untuk keluarga sama sekali tidak dapat kutebus dengan dunia dan seisinya sekalipun.
Apabila butiran airmatamu jatuh ke tanah kerana apa yang diusahakan tidak setimpal balasannya daripada kami anak-anakmu,
baru kutahu kini betapa pedih kalbu ini.
Sungguhpun begitu, kau tidak jemu-jemu berusaha dan bersabar mendidik kami.
Ada yang lemah, kau bantu mengampuhnya dan memulihkan semangatnya kembali.
Ada yang tersasar, kau tidak jenuh mencuba membawanya kembali ke pangkal jalan.
Ada yang mati jiwanya, kaulah pemulih harapan kami.
Ibu,
Kini sedikit cahaya yang kemilau mula menyinari hidup kita.
Manikam yang kau gilap, mula menampakkan sinar dan serinya.
Kupanjatkan doa agar kau sentiasa diberkatiNya.
Semoga tetap tabah agar dapat kami berlindung di bawah naunganmu yang kami sanjungi.
Ibu,
Walaupun tidak dapat kuberi emas dan harta benda dunia sebagai tanda belasku kepadamu, namun terimalah ucapan tulus ikhlasku,
“ Terima kasih di atas segala yang telah kau berikan. Jasamu akan kukenang hingga ke akhir hayatku. “
Anakmu,
Rohani Mafot
Showing 1 - 1 of 1
Today: 2010-09-05, 13:24PM (All times are GMT +08:00)