Asia-Pacific Writing Shapes The World    

Forum

Forum > W.R.I.T.E. Club > Works by W.R.I.T.E. Club > CINTA KAABAH (Cerpen) oleh MAJIIDAH KHAMSANI

 
Topic: CINTA KAABAH (Cerpen) oleh MAJIIDAH KHAMSANI
arahmanbasrun 
CINTA KAABAH (Cerpen) oleh MAJIIDAH KHAMSANI   
Posted on:
2009-01-21
10:52 AM
Cerpen disiarkan di Berita Harian dalam tiga bahagian, dari 7 hingga 21 Januari 2008:

Oleh MAJIIDAH KHAMSANI
Pelajar Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah


JAM sudah menunjukkan tepat pukul 12 malam. Namun, bayang-bayang Nurul Izzati masih belum kelihatan. Nurul Iman gelisah. Adiknya masih belum pulang jua.
Bukannya dia tidak tahu adik-nya itu sering berfoya-foya semenjak kematian ibu bapa mereka. Nurul Iman resah. Bangun duduk semuanya serba tidak kena.
“Sudahlah tu yang. Masuk tidur dulu... dah malam ni,” ujar Iskandar sambil duduk di sisi isterinya.
Hatinya risau dan simpati melihat isterinya berjam-jam berdiri menunggu kepulangan adiknya itu. Dia tahu adik iparnya memang keras kepala. Tidak makan nasihat langsung. Jika diberi nasihat pasti akan melenting bagaikan harimau.
Nurul Iman merenung wajah suaminya. Lelaki itulah yang menyelamatkan dirinya daripada terus hanyut dibuai gelombang maksiat. Jika tidak, mungkin dia akan terus hanyut seperti adiknya itu.
“Tak mengapalah bang. Abang masuk tidur dulu ya!” ujar Nurul Iman lembut sambil merenung suaminya dengan penuh kasih sayang.
“Tidak, abang akan temankan Iman tunggu Nurul Izzati, O.K.?” ujar Iskandar sambil memegang erat tangan isterinya. Nurul Iman tersenyum dan membalas pegangan erat suaminya itu.
Ketika itu, kedengaran bunyi enjin kereta masuk ke halaman rumah. Mereka bergegas menuju ke sana. Kelihatan Nurul Izzati keluar daripada perut kereta dengan seluar jean yang ketat dan baju yang tipis, sendat dan jarang, menampakkan lagi susuk tubuhnya.
Penampilannya yang begitu keremajaan sesuai dengan umurnya yang baru menjangkau 19 tahun. Nurul Izzati menjeling tajam dan melihat wajah kakak dan abang iparnya. Nurul Iman mendengus geram. Pantas, dia menarik tangan adiknya itu.
“Oi! Apa ni? Lepaslah,” rontanya kasar sambil cuba melepaskan tangannya.
“Pakaian apa kau pakai ni! Nak jadi setan! Mana tatasusila kau sebagai orang Islam hah?” jerkah Nurul Iman. Dadanya rasa terbakar menahan marah. Geram, marah dan meluat bercampur menjadi satu. Iskandar cuba menenangkan isterinya.
“Akak, saya tahulah apa yang saya buat! Akak nak suruh saya pakai tudung macam akak ke? Tolonglah... panas tahu tak? Lagi- pun, akak pun dulu macam adik jugakan?” sindir Nurul Izzati sambil tersenyum sinis. Nurul Iman tergamam.
Kalau ikutkan hati bengis arwah bapanya, barangkali pipi adiknya itu
ditempeleng acap kali.
Kalau ikutkan panas hatinya, barangkali tubuh adiknya itu dihumbankan ke dalam selut.
“Kenapa kurang ajar sangat ni?” Iskandar merenung tajam ke arah adik iparnya.
“Pergi mampuslah!” bentak Nurul Izzati dengan kasar lalu pergi dari situ. Nurul Iman mengucap panjang melihat tingkah laku adiknya itu. Perlahan-lahan manik-manik jernih turun membasahi pipinya. Sendu dan pilu berangkai menjadi satu.
“Sabarlah yang... Kita doakan supaya Nurul Izzati berubah ya?” pujuk Iskandar.
Nurul Iman hanya mengangguk lesu.
Khabar yang mengejutkan
Ting tong! Ting tong! Nurul Iman sedang memasak ketika loceng rumah berbunyi.
Nurul Iman melihat jam di pergelangan tangannya. Baru pukul 2 petang. Takkanlah Iskandar pulang awal sangat, kata hatinya.
Pantas, Nurul Iman membuka pintu. Alangkah terkejutnya di saat melihat Ustazah Fatimah tercegat di muka pintu. Dia tersenyum melihat Nurul Iman.
“Assalamualaikum Nurul Iman,” ucap Ustazah Fatimah.
“Waalaikumsalam, jemputlah,” pelawanya dengan ramah.
“Kenapa datang tak beritahu? Kalau tak, Iman boleh masakkan makanan sedapsedap,” ujarnya sebaik sahaja Ustazah Fatimah duduk di ruang tamu.
“Tak payahlah. Lagipun ustazah datang ni ada hajat besar,” beritahunya lagi.
“Hajat besar? Hajat apa?” Dahi Nurul Iman berkerut. Ustazah Fatimah menarik nafas panjang. Kemudian, dia menghembuskan nafasnya perlahan-lahan.
“Kalau kamu tak keberatan, ustazah nak pinang adik kamu untuk anak ustazah, Ustaz Hafiz,” beritahu Ustazah Fatimah. Lega rasanya dapat meluahkan hasrat hatinya. Nurul Iman tersentak. Dia tergamam buat setika.
“Betul ke apa yang saya dengar ni?” ucap Nurul Iman, cuba meyakinkan dirinya.
“Betullah. Takkan ustazah nak bohong pula?” balas Ustazah Fatimah.
“Ta... tapi ustazah belum kenal adik saya kan?” sambung Nurul Iman lagi.
Hatinya resah jika Ustazah Fatimah mengetahui akan sikap adiknya itu. Jikalau Ustazah Fatimah tahu akan sikap adiknya, tentu pinangan ini tidak akan terjadi sama sekali.
“Iman, ke manakah tumpahnya kuah lagi kalau tidak ke nasi? Arwah ibu kamu dulu sungguh baik sekali. Sudah tentu anak-anaknya pun baik jugakan?” jawab Ustazah Fatimah lembut.
Terasa bagai halilintar membelah dadanya mendengar kata-kata Ustazah Fatimah.
Tak seindah itu ustazah, bisik hatinya.
“Ustazah tak memaksa sangat Iman. Kamu bincanglah dengan adik kamu dulu.
Ustazah minta diri dulu. Dah lambat ni,” pinta Ustazah Fatimah sambil bersalaman dengan Nurul Iman.
Nurul Iman hanya merenung jauh pemergian Ustazah Fatimah. Ya Allah! Berilah aku kekuatan.
Perasaan memenuhi benak
Malam menjengah di muka pintu meninggalkan kemelut siang. Permaidani hitam terhampar indah di angkasa diselaputi jutaan bintang berkenyitan puputan bayu
berhembus lembut. Ustaz Hafiz meletakkan tasbih yang dipegangnya di atas katil.
Dia merenung angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa di luar jendela biliknya.
Masih terngiang-ngiang di cuping telinganya kata-kata uminya.
“Fiz, umi dah pilihkan calon isteri untuk Fiz. Iskandar, kawan baik kau tu...
Adik iparnya, Nurul Izzati. Umi dah bincang dengan Nurul Iman, kakaknya tu. Umi tengah tunggu kata putus daripada mereka. Umi yakin dia seorang wanita yang baik seperti arwah ibunya juga.”
Kata-kata uminya sungguh mendebarkan hatinya. Dia tidak kenal sama sekali adik ipar Iskandar. Yang dia tahu hanya Nurul Iman. Itu pun di majlis perkahwinan sahabat baiknya itu.
Tidak nampak pun adik ipar sahabatnya itu. Dia mengeluh. Bagaimana rupanya?
Bagaimana akhlaknya? Dan yang paling penting sekali adakah kuat pegangan agama Islamnya atau tidak?
Semuanya berlegar-legar di fikirannya. Ya Allah! Kau hadirkanlah isteri solehah buat diriku agar kupimpin dia ke syurga firdaus-Mu nanti, bisik hatinya.
Yang pasti, dia akan selidik latar belakang calon isterinya itu. Pasti.

Dilema di hati
 “Zetty, menari lagilah!” ajak Liza. Nurul Izzati menggelengkan kepala. Lampu disko yang bergemerlapan dan berwarna-warni itu sungguh memeningkan kepalanya.
Pemuda-pemudi yang menari dan berpeluk-pelukan bagaikan tidak ingat dunia membosankan dirinya. Hatinya resah gelisah. Pergaduhan dengan kakaknya pagi tadi sungguh mengganggu fikirannya.
Asap rokok yang dihisapnya dihembuskan perlahan-lahan. Fikirannya kacau. Ini melibatkan masa depannya. Masa depan yang akan menentukan segala-galanya.
“Apa? Akak nak suruh saya kahwin dengan ustaz? Akak ni gila ke? Saya tak ingin! Saya tak nak pakai tudung macam akak.
“Cakap dengan perempuan tua tu, yang saya tak ingin nak kahwin dengan anak dia! Boleh jalan dah!” bentaknya kasar.
“Tapi ini untuk kebaikan adik juga,” pujuk Nurul Iman lembut.
“Kebaikan?” Matanya menjegil mengejek.
“Kebaikan apa kak? Menghancurkan hidup saya adalah,” balasnya kasar.
“Oi!” Nurul Izzati tersentak daripada lamunannya. Liza dan Mira duduk di sebelahnya.
“Kau ni kenapa? Termenung sana, termenung sini. Jomlah, kita menari lagi,” ajak Mira.
“Korang ni boleh diam tak? Aku bingit tahu tak?” marahnya lalu berlalu dari situ. Hatinya tidak tenang.
Angin mendesir tatkala keretanya dipacu laju.

Takdir di muka pintu
Hati Ustaz Hafiz resah tatkala kereta yang dipandunya tiba-tiba rosak. Matahari sudah mula menutup tirainya.
“Ya Allah. Bagaimana ni? Aku belum lagi menunaikan solat maghrib. Bantulah hambamu ini,” bisik hati kecilnya.
Tiba-tiba dia teringatkan Iskandar. Ya, rumah Iskandar tidak jauh dari sini.
Pantas, dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan menekan nombor telefon sahabatnya itu.
“Assalamualaikum, boleh saya bercakap dengan Iskandar?”
“Waalaikumsalam, ni Iskandar. Siapa di sana?” soal Iskandar. Gerak hatinya mengatakan dia pernah mendengar suara itu. Tapi siapakah gerangannya?
“Ya saddiki, takkan tak kenal aku? Ni Hafizlah,” balasnya sambil ketawa kecil.
“Ya Allah, macam mana aku boleh lupa ni? Maaflah! Kenapa ni?Ada masalah ke?”
“Kereta aku rosak. Aku belum solat maghrib ni. Boleh aku tumpang solat kat rumah kau?”
“Boleh. Rumah ni sentiasa terbuka untuk kau,” jawab Iskandar sambil tersenyum.
“Alhamdulillah, terima kasih. Aku pergi sekarang,” balasnya sambil memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi.
Nurul Iman yang dari tadi hanya jadi pendengar mula berasa gelisah.
“Abang, Hafiz tu nak datang ke? Kalau Nurul Izzati pulang macam mana?” tanyanya cemas. Iskandar terdiam mendengar pertanyaan isterinya itu.
“Insya-Allah. Takkan terjadi apa-apa,” jawabnya. Namun, jauh di sudut hatinya, dia juga berasa gelisah. Yang pasti, Hafiz patut tahu perkara yang sebenarnya.

Tetamu yang tidak diundang
“Assalamualaikum,” ucap Ustaz Hafiz sebaik sahaja tiba di pekarangan rumah Iskandar.
“Waalaikumsalam. Jemputlah masuk,” pelawa Iskandar mesra.
“Tikar sembahyang dah saya sediakan di atas bilik,” beritahu Nurul Iman lembut.

“Syukran, baik sungguh sahabat aku ni,” balasnya tersenyum.
Baru sahaja dia ingin melangkah, tiba-tiba kelihatan sebuah kereta berwarna biru masuk ke pekarangan rumah. Hati mereka berdua mula berdebar kencang. Ustaz
Hafiz menoleh dan kelihatan seorang perempuan keluar dari perut kereta.
Wajahnya bujur sirih, matanya bersinar dan rambutnya ikal mayang.
Namun, di sebalik kejelitaan itu, tidak terpancar sedikit pun cahaya daripada wajahnya. Baju yang dipakainya seksi dan seluar jean yang ketat membuatkan hatinya kurang senang dengan penampilan gadis itu.
“Siapakah dia?” bisik hatinya.
Nurul Izzati terkejut melihat lelaki asing di depannya. Wajahnya persis orang Arab. Berkulit putih dilengkapkan dengan sepasang mata yang jernih dan hidung mancung kemas di atas sepasang bibir mekar merah. Janggut kemas bercukur.
Siapakah gerangan lelaki itu? Melihat daripada raut wajah Nurul Iman dan abang iparnya yang gelisah itu, sedarlah dia siapa lelaki di hadapannya itu.

“OH, jadi inilah Ustaz yang akak nak suruh saya kahwin ni!” ujar Izzati kasar.
Ustaz Hafiz tercengang mendengar ungkapan gadis di hadapannya itu. Inikah Nurul Izzati pilihan Uminya? Ya Allah! Jika benarlah, dugaan apakah ini?
“Oi, jantan! Sedarlah diri tu sedikit. Cermin diri kalau nak kahwin dengan aku! Dahlah pakaian macam apa! Songkoklah, baju Melayulah, kolot betul. Tahu ceramah
kat masjid aje! Lelaki macam kau ni, boleh berambus!” ucap Izzati kasar.
Pang! Satu tamparan hebat hinggap di pipinya.
“Akak tak pernah ajar adik akak biadab macam gini! Sedar tak apa adik cakap ni?
Adik tu yang patut cermin diri adik kat cermin tu! Jangan sesekali adik hina seorang Ustaz. Ustaz tu pewaris Nabi tahu tak! Mulut tu jangan lancang sangat!”
marah Nurul Iman dengan perasaan yang sebak. Malu rasanya terhadap Ustaz Hafiz
di hadapannya. Iskandar cuba menenangkan isterinya itu.
“Jahat! Kejam! Semua orang kat sini memang kejam! Tak berhati perut!” jerit Izzati lalu berlari dari situ menuju ke bilik.
Ustaz Hafiz tersentak dengan kejadian yang berlaku di depannya. Adakah ini musibah yang harus dilaluinya?
“Fiz, maafkan aku atas perilaku adik ipar aku. Kami tak pernah ajar dia biadab macam gitu Fiz,” ujar Iskandar perlahan.
Hatinya benar-benar diulit rasa bersalah yang amat sangat. Malu rasanya terhadap sahabatnya itu. Dia yang tadi hanya membisu mula tersenyum tenang.
“Tak mengapa Is. Aku faham! Inilah dugaan Tuhan yang aku harus tempuhi. Aku
rasa adik ipar kau tertekan. Berilah dia peluang!” ujarnya lembut.
Nurul Iman termangu mendengar kata-kata Ustaz Hafiz itu. “Baiknya dia dik. Kenapa kau menolaknya dik?” bisik hatinya hiba.
“Aku nak solat dulu,”pintanya lalu berlalu dari situ.
Dalam nestapa, dia cuba mengajar perasaannya supaya bersabar dengan cacian yang dilemparkan untuknya. Dalam diam, dia nekad, wanita itu akan diubahnya menjadi
wanita yang solehah. Dan pada malam yang penuh syahdu itu, dia berdoa kepada Ilahi agar pintu taubat masih terbuka untuk wanita itu.

Mimpi ngeri
 Pintu bilik yang terbuka luas itu dihempas sekuat hatinya. Benci, geram dan marah berangkai menjadi satu. Buku-buku yang berada di mejanya dilemparkan ke arah tembok dengan kasar. Hatinya benar-benar sakit. Pipi gebu yang ditampar oleh kakaknya tadi diusap perlahan-lahan. Ah, benci! Kerana lelaki itu, aku
ditampar sebegini! Begitulah detusnya di dalam hati.
Dia menyembamkan mukanya di atas bantal. Air matanya sudah mula mengalir di pipinya. Kemarahan terhadap lelaki itu semakin membuak-buak.
“Dasar lelaki tak guna! Tak sedar diri! Hidung tak mancung, pipi
tersorong-sorong. Ada hati nak kahwin dengan aku! Lelaki tak guna! Lelaki syaitan!” jeritnya dalam hati. Entah bila masanya matanya tidak mampu menahan ngantuk yang teramat sangat. Akhirnya dia terlena.
Dia berjalan ke satu tempat yang asing. Hitam dan gelap di sekelilingnya. “Di manakah aku?” detus hatinya. Tiba-tiba, di depannya kelihatan ular sawa menuju ke arahnya. Kiri dan kanannya pula berbondong-bondong lipas kudung menghampirinya. Dia menoleh ke arah belakang dan cuba melarikan diri. Namun,
kelihatan susuk tubuh seseorang yang tinggi lampai dengan wajahnya yang bengis.
Dia ketakutan. Tubuhnya menggigil saat dia melihat tubuh yang tinggi lampai itu.
“Sia…pa k…au?” soalnya ketakutan.
“Wahai diri yang diberi nikmat yang banyak, kau tak usah tahu aku siapa. Yang pasti, aku datang untuk memberi peringatan. Kau diberi nyawa, kasih sayang, ilmu dan kesihatan. Lalu, apa lagi yang ego engkau mahukan? Sehingga begitu liat untuk kau tunduk syukur kepada Ya Rabbi? Nikmat yang diberikan membuatkan
kau cintakan dunia sehingga tidak berani memikirkan ajalmu. Kau juga telah memperlekehkan seorang ustaz. Apa kau fikir kau terlalu hebat?
“Kau berpakaian menjolok mata. Apa kau fikir dunia ini hanya untuk bersuka ria?
Dunia ini hanya sementara. Jangan kau leka wahai manusia. Lihatlah binatang yang berada di sekelilingmu. Biarkan aku tunjukkan bagaimana mereka akan membahang manusia seperti engkau!” ujar suara garang itu.
“Tolong, tolong aku! Jangan, jangan!” jeritnya sekuat hati.
Tiba-tiba muncul seorang lelaki yang berjubah putih dan berserban datang menghampirinya dan menghalang binatang-binatang itu daripada membahamnya.
“Wahai temannku. Hentikanlah seksaan kepada wanita ini. Berilah dia kesempatan untuk bertaubat,” ujar lelaki berserban itu. Dia cuba melihat wajah lelaki tersebut, namun wajahnya itu ditutupi kain putih. Lelaki yang bengis wajahnya tadi menganggukkan kepalanya. Dia mengarahkan binatang itu beredar dari situ.
Kemudian, lelaki yang bengis tadi menghilangkan diri.
Lelaki yang berserban putih memandang ke arahnya lalu tersenyum. Kemudian, dia mengeluarkan secawan air jerang lalu membacakan surah Al-Fatihah di atas air itu. Oh, indahnya suaranya. Belum pernah dia mendengar suara seindah itu.
Selepas itu, dia menghulurkan air tersebut ke arahnya.
“Minumlah air ini. Mudah-mudahan engkau menjadi seorang wanita yang mulia,” ujar lelaki tersebut. Ketika dia meneguk air tersebut lelaki tadi menghilangkan diri.
“Tunggu! Jangan pergi dulu!” jeritnya sekuat hati.
Dia tersedar. Dia dikelilingi wajah-wajah manusia. Matanya beralih ke kanan.
Ah! Ini Kak Iman, dia bangkit dan memeluknya.
“Izzati…” Dia memeluk kakaknya erat. Menyembam muka di bahunya. Rasa takut berdetik seluruh jiwa. Badan Izzati berhinggut kuat. Bahu Nurul Iman basah dengan air mata adiknya. Dia mengangkat wajah yang mula kusam dengan kesedihan.
Tuhan, aku tidak pernah melihat dia sesedih ini.
“Izzati... Izzati kenapa? Apa yang dah berlaku? Adik meraung kuat sangat sampai kita orang risau tau!” ujar Iman. Nurul Izzati hanya membisu. Kelihatan Abang Iskandar dan Ustaz Hafiz memegang Al-Quran sambil membacakan surah Al-Fatihah kepadanya.
Ketika dia menangkap suara Ustaz Hafiz, jantungnya berdegup kencang. Suaranya mirip lelaki berjubah putih tadi. Benarkah lelaki tadi adalah dia? Tatkala matanya memandang Ustaz Hafiz, dia menundukkan kepalanya dan memusing ke arah lain. Rasa bersalah dan malu bercampur menjadi satu. Andainya dia tahu akan mimpinya itu, adakah dia akan mentertawakan dirinya?
Ustaz Hafiz perasan akan kelakuan gadis itu. “Benci benarkah gadis itu kepadanya?” bisik hati kecilnya kecewa. Kecewa kerana tidak mampu mengubah wanita itu menjadi wanita Muslimah yang sebenarnya. Dan dia tahu harapannya akan tinggal harapan apabila melihat kelakuan gadis itu.
“Iman, Is, aku minta diri dulu,” ucapnya lalu bergegas keluar dari bilik itu.
“Fiz, terima kasih kerana bacakan doa untuk adik ipar aku,” ucap Iskandar sebaik sahaja sampai di pekarangan rumah.
“Sama-sama, kau jagalah dia baik-baik ya?” ujarnya sambil bersalaman dengan Iskandar sebelum pergi dari situ dengan hati yang pasrah.

Insaf
Tatkala azan maghrib berkumandang di radio, air jernih sudah mula merembas keluar dari kelopak matanya. Kesepian malam semakin menambah kepiluan hatinya.
Sejadah dibentangkan. Telekung yang berada di almarinya dikeluarkan dan dipakainya. Dia merenung wajahnya di cermin. Merenung wajah yang penuh dengan
dosa dan noda. Layakkah dirinya diterima Tuhan kembali? Air matanya jatuh lagi.
Ya Allah, aku tanpa cinta-Mu seperti layang-layang terputus tali. Tuhan,
hamba-Mu yang lemah ini resah dengan dosa, lalunya juga dosa yang bakal kulakar ketika gersang takwa. Peluklah aku ini Tuhan dengan Rahim-Mu, bisik hati kecilnya.
Tuk! Tuk! Pintu biliknya diketuk. Pantas, dia mengelap air matanya. Nurul Iman terkejut tatkala melihat adiknya bertelekung. Dia memeluk adiknya erat bersama linangan air mata kesyukuran.
“Kak, maafkan Izzati. Selama ini, adik banyak biadab dengan kakak. Maafkan adik kak,”ucapnya sambil mencium tangan kakaknya.
“Kakak dah lama maafkan Izzati. Sekarang ni kita solat jemaah dengan Abang Is
O.K.?” ujar Nurul Iman gembira. Betapa tidak, doanya siang dan malam untuk melihat adiknya hijrah daripada kemungkaran kepada amalan makruf dikabulkan Tuhan jua.

Keputusan

Sebaik sahaja selesai membaca doa, Iskandar dan Nurul Iman berpandang sesama sendiri. Seperti ada sesuatu yang ingin disampaikan. Keputusan terakhir di tangan adiknya sendiri.
“Dik, Abang Is nak beritahu ini keputusan yang terakhir melibatkan masa depan Izzati dan abang rasa Izzati faham maksud Abang?” beritahu Iskandar tenang. Dan dia tahu, sahabatnya masih memberi ruang untuk adik iparnya berfikir dua kali.
Nurul Izzati tersentak. Tatkala itu, dia teringatkan kata-kata nista yang
dilemparkan kepada Ustaz Hafiz.
“Oi jantan, sedarlah diri tu sikit! Cermin diri tu kalau nak kahwin dengan aku! Dahlah pakaian macam apa! Songkoklah, baju Melayulah, kolot betul. Tahu ceramah kat masjid aje! Lelaki macam kau ni boleh jalanlah!”
Namun, lelaki itu tidak membalasnya kembali. Ya, dia tidak menafikan perasaan cinta yang dianugerahkan Allah kepadanya mula mendasari hatinya. Namun, biarlah ia menjadi rahsia hatinya. Dia terlalu baik dan tulus dan diri ini? Hanya gadis yang punya dosa yang berlipat ganda.
“Abang Is, Kak Iman, Izzati dah fikir masak-masak. Peminangan Ustazah Fatimah tak akan Izzati terima,” ujarnya perlahan. Biarlah. Biarlah segala-galanya berakhir di sini. Air matanya ingin jatuh lagi, namun ditahannya menyembunyikan kesedihan di dalam hati.
Mereka terdiam. Andai itu keputusan terakhir, mereka pasrah. Namun, mereka tahu jawapan itu bukan lahir daripada hatinya yang ikhlas. Biarlah, biarlah takdir menentukan segala-galanya.
Pemergian
Ustaz Hafiz tenang mendengar setiap butir perkataan Uminya tentang keputusan pernikahannya. Dia sudah menjangkakan keputusan itu. Namun, dalam diam, cinta mula berputik di dasar hatinya. Dia juga insan biasa yang punya perasaan dan hati. Tapi bukan cinta Adam dan Hawa yang hanya berlandaskan nafsu semata-mata.
Cintanya ikhlas untuk mengubah wanita itu menjadi wanita solehah.
“Fiz, maafkan Umi. Umi main pilih aje. Akhirnya inilah akibatnya,” kesal Ustazah Fatimah. Kesal kerana tidak menyelidik dahulu latar belakang wanita itu.
“Umi tak usahlah nak menyesal. Inilah dinamakan takdir Ilahi. Kita sebagai hamba, terimalah qada dan qadar Tuhan,” ujarnya perlahan.
Dia terdiam mendengar ungkapan anak lelakinya itu. Mulia sungguh hatimu nak, bisik hatinya.
“Umi, Fiz nak beritahu minggu depan Fiz akan berangkat pergi ke tempat yang jauh, yang boleh mendekatkan diri Fiz dengan-Nya,” beritahu Hafiz dengan nada yang serius. Dia pasti, untuk mencari sebuah ketenangan yang abadi dia harus ke sana. Pasti.
“Pergilah, andai itu baik untuk kau,” ucapnya tenang. Dia tahu maksud ‘pergi jauh’ itu. Dan dia merelakan pemergian anaknya itu bersama cinta takwa yang sejati.
Pertemuan di Butik
“Akak tudung ni cantikkan?” tanya Nurul Izzati sambil memegang tudung sutera yang keemasan itu. Nurul Iman hanya mengangguk lesu. Sebenarnya tekaknya sudah kehausan sejak tengah hari lagi menemani adiknya ke Butik Saloma yang terkenal dengan fesyen tudung terkini.
“Akak penat ke?”
“Penat tu penatlah, tapi demi adik, akak tak kisah.”
“O.K. lah, kalau gitu adik bayar ni dulu, kemudian kita pergi minum O.K.?” simpati pula melihat wajah kakaknya yang kepenatan. Dia sudah nekad, tudung akan dipakainya walau apa jua rintangan yang akan ditempuhi.
Dia berdiri lesu di luar butik tersebut menunggu adiknya. Penat sungguh hari ni, bisik hatinya. Pun begitu, dia tetap bersyukur kerana adiknya sudah berubah menjadi seorang Muslimah yang mulia.
Tatkala dia termenung, dirasakan bahunya disentuh oleh seseorang. Kelihatan seorang wanita yang berumur lingkungan 50 tahun memberikan senyuman manis ke arahnya.
“Ustazah!” Dia memeluk Ustazah Fatimah erat. Sebelum ini, dia menyangka wanita tua itu akan membencinya kerana menolak lamaran untuk adiknya. Namun sangkaannya itu meleset sama sekali tatkala dia melihat wanita itu tersenyum mesra ke arahnya tadi.
“Iman buat apa kat sini?”
“Iman temankan adik…”
“Akak!” Dan tatkala itu Nurul Izzati mendapatkan kakaknya. Langkahnya terhenti.
Mulutnya terkunci. Jantungnya berdegup kencang. Kelihatan wanita itu pun terkejut melihat ke arahnya.
Wanita tua itu menghampirinya dan memeluknya erat. Dia membalas pelukan wanita itu bersama linangan air mata. Yang pasti, pelukan kasih sayang wanita itu menyentuh hatinya.
“Ma..afkan saya zah, se..bab tolak lamaran zah,” ujarnya sambil mengelap air matanya. Wanita tua itu meleraikan pelukannya. Diangkat dagu gadis manis itu.
Melihat wajah yang disirami dengan Nur Islam. Berbeza dengan apa yang didengari selama ini. Gadis itu memakai jubah putih dengan tudungnya yang labuh serta wajahnya yang putih bersih bagaikan embun pagi.
“Izzati, Cik tak marah. Apa yang dah berlaku tu sudahlah. Cuma hati kecil Cik kuat mengatakan Izzati sukakan anak Cik kan?”
Lidahnya kelu. Dia tidak pasti akan perasaannya ketika itu. Untuk berterus terang dia malu.
Ustazah Fatimah tersenyum kerana dia tahu apa yang bermain di benak gadis itu.
Namun, semuanya sudah terlambat.
“Izzati, Cik cuma nak beritahu Hafiz dah ‘pergi jauh’. Tak usahlah Cik beritahu tapi yang pasti, cintalah dia kerana Allah dan Rasulnya kerana di situ ada seribu hikmah yang kita tak nampak.”
Dia tersentak buat seketika. Pergi jauh? Ke mana?
Nurul Iman yang hanya jadi pendengar dari tadi juga tersentak.
“Izzati... Iman... Cik dah lambat ni. Cik pergi dulu ya?” ujarnya bersalaman dengan mereka sebelum berlalu pergi.
Dia terkaku buat seketika. “Cintalah dia kerana Allah dan Rasulnya...”
terngiang-ngiang di cuping telinganya. Kemudian, hatinya tenang dengan kalimah itu.
“Dik, jomlah kita balik,” ajak Nurul Iman.
SEBAIK-BAIK sahaja selesai tugasnya – sebagai pengurus kewangan di Shahidah Travel – Iskandar terus memecut laju keretanya.
Tidak sabar rasanya untuk memberitahu khabar gembira ini kepada isteri dan adik iparnya. Dia pasti, berita ini akan menggembirakan mereka.
Tiba sahaja di banglo mewahnya, dia menjerit memanggil mereka.
Nurul Iman dan Nurul Izzati tersentak mendengar jeritan Iskandar itu. Pantas, mereka bergegas keluar mendapatkan Iskandar.
“Kenapa bang? Abang kemalangan ke?” soal Nurul Iman panik.
Tapi, sebaik-baik sahaja suaminya tersenyum ke arah mereka, dia mendengus geram.
“Abang Is ni kan buat kita orang terperanjat aje. Ada apa sebenarnya?” tanya Nurul Izzati pula.
Dia menarik nafasnya sedalamdalamnya sebelum melemparkan senyuman manis ke arah mereka. “Ni berita gembira sekali!”
“Apa dia?” tanya mereka serentak.
“Abang Is dapat tawaran pergi umrah daripada syarikat abang sendiri. Kebetulan, tiketnya untuk tiga orang. Jadi kita bertiga akan ke sana!” ujarnya sambil melonjak kegembiraan.
“Alhamdulillah,” ucap Nurul Iman. Dia menoleh ke arah adiknya. Kelihatan mata adiknya berair.
Dia dan Iskandar memandang sesama sendiri. Tidak gembirakah adiknya mendengar perkhabaran ini?
“Dik, kenapa ni? Adik tak nak pergi ke?”soalnya sambil memegang tangan adiknya erat. Nurul Izzati menggelengkan kepala.
“Kak, Allah terima ke Izzati ni? Izzati banyak dosa kak...” Ada kesedihan pada matanya. Ada duka bergantung dalam tuturnya. Kelam dan pilu saling berselisih dalam rasanya.
“Dik, Allah tu Maha Pengampun. Semua orang buat dosa dik,” ujar Iman lembut.
“Betul tu dik. Semua orang buat dosa dan adik sepatutnya bersyukur kerana adik adalah hamba yang dipilih Allah untuk pergi ke Makkah,” nasihat Iskandar pula.
Tatkala itu, Nurul Izzati memeluk kakaknya erat. Nasihat mereka akan dijadikan pegangan dalam hidupnya. Dan ketika itu, matanya terbayangkan Kaabah. Tidak sabar rasanya hendak ke sana. Aku merinduimu Kaabah, bisik hatinya.

Di dalam kapal terbang
Kapal terbang semakin tinggi di angkasa. Awan-awan putih menjalur indah. Setelah beberapa bulan mengikuti kursus umrah, kini dia sudah berada di dalam kapal terbang, membawa hatinya yang tenang dan tulus. Seluruh jiwa dan raganya diserahkan kepada yang Maha Pencipta. Di sebelahnya, kakaknya sedang tekun bertasbih.
Sesekali mendongak ke hamparan langit nan nebula, dia terpandang wajah lelaki itu.
Oh Allah! Dia menekup wajahnya. Allah, jauhkan aku daripada mengingatinya. Kau lenyapkan perasaan rinduku kepadanya andai ia bukan milikku lagi.
Allah, kau jauhkan aku daripada bisikan dan godaan syaitan saat aku ingin beribadah kepada-Mu, doanya di dalam hati.

Makkah pertemuan dua insan
Saat dia menjejakkan kakinya ke bumi Allah itu, hatinya menjadi sayu saat dia terpandang Kaabah. Terasa benar dirinya begitu dekat dengan Allah. Seolah-olah apa yang ada di sekelilingnya tidak lagi wujud dan yang ada hanyalah dia dan Allah.
Bertawaf di sini terasa benar selama ini dia hanyalah pelawat sunahnya. Dari jauh dia memandang ke arah Kaabah, terasa benar ketika ini dia tidak layak menikmati keindahan rumah-Nya, bisakah air matanya jadikan hadiah kunjungan hinanya ke Masjidil Haram. Air matanya tidak henti-henti menitis mengenangkan dosa-dosanya yang lalu.
Ketika dia sedang bertawaf itu, matanya tertumpu ke arah seorang lelaki yang amat dikenali. Kelihatan lelaki itu juga melihat ke arahnya. Dia tidak pasti ketika itu apa yang dilihatnya benar atau tidak. Namun, biarlah dia menumpukan sepenuh ibadahnya kepada Yang Maha Kuasa.

Warkah
Dia pulang ke hotel bersama jemaah yang lain. Dia duduk di atas katil melepaskan kepenatannya. Pun begitu, apa yang pasti, perasaan gembira memandang Kaabah sungguh mendamaikan jiwanya.
Saat itu, Nurul Iman datang dan menghampiri adiknya. Ada sesuatu yang ingin disampaikannya.
“Adik, akak nak bagi sesuatu,” jelas Nurul Iman, tersenyum.
“Akak nak bagi apa?” soalnya kehairanan.
Dia melemparkan senyuman manis ke arahnya.
“Sebelum akak bagi, akak nak tanya adik ada nampak seseorang tak?”
Izzati cuba mengingati sesuatu. Dan tatkala itu, dia teringatkan seseorang ketika dia sedang bertawaf. Tapi benarkah?
Nurul Iman tersenyum melihat adiknya seolah-olah mengetahui apa yang bermain di fikirannya. Dia membisikkan sesuatu ke telinga adiknya,
“Apa yang adik tengok tu bukan fantasi tapi betul. Dia serahkan surat ni kat Abang Is untuk disampaikan kat Izzati. Bacalah... akak nak solat sunat dulu,” ucapnya sambil menyerahkan warkah yang berwarna merah jambu itu.
Jantungnya berdebar kencang saat dia memegang warkah itu.
Dibukanya perlahan-lahan.

Ke hadapan Saudari Nurul Izzati dengan selamatnya,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Diharapkan dengan kehadiran warkah ini saudari dalam keadaan sihat walafiat.
Tak diduga, di tempat ibadah ini kita ditemukan. Betapa kuasa Ilahi siapa yang dapat menduga.
Melihat wajah saudari yang jernih dengan Nur Islam, tidak syak lagi saudari ikhlas dan menyerahkan diri kepada yang Maha Kuasa. Betapa bersyukurnya diri ini melihat perubahan saudari.
Saudari,
Andai belum terlambat lagi, diri ini ingin melamar saudari buat kali kedua. Cinta ini berlandaskan Allah dan Rasul-Nya, bukan nafsu semata-mata. Izinkanlah diri ini memimpin saudari ke syurga Firdausi nanti. Insya-Allah.
Saudari,
Diri ini juga punya kelemahan. Tak usahlah saudari merendahkan diri saudari sendiri. Semua orang ada membuat kesilapan dan sebaik-baik hamba adalah hamba yang bertaubat. Dan saudari sudah pun membuktikannya.
Saudari,
Jadilah seperti pohon semalu. Pantang disentuh pasti menunduk sopan, tapi durinya tetap tajam. Pohon semalu memang malu kerana malu lambang keindahan dan kemuliaan seorang wanita solehah. Duri itu ibarat senjata yang menghapuskan segala kemungkaran yang ada. Pohon semalu juga mengeluarkan bau yang sungguh harum semerbak haruman kesturi.
Begitulah seorang wanita, dia ingin menghiasi dirinya dengan haruman bunga-bungaan akhlak yang cantik menawan.
Akhir sekali hayatilah kata-kata ini:
“Kaabah menjadi saksi pertemuan dua insan... Tak usah diungkapkan, tak usah dilafazkan, kerana kuyakin kau adalah wanita pilihan Allah untuk menjadi suri hidupku.
Yang benar,
Hafiz

Matanya tidak terkejip. Sungguh dia terpanar seketika. Perlahan-lahan manik-manik jernih turun membasahi pipinya. Sungguh dia terharu buat seketika.
Cintalah dia kerana Allah dan Rasul-Nya, kerana di situ mungkin ada hikmah yang tersembunyi. Kata-kata itu terngiang-ngiang di kupingnya. Dia merasakan keagungan Tuhan di seluruh jiwa. Dia berasa dia tidak pernah meninggalkan dirinya dalam segala keadaan.
Padanya dia titipkan secuil asa, kau berikan selaksa bahagia. Padanya, dia harapkan setitis embun cinta, kau limpahkan samudera cinta.
Allah, Kau temukan aku dan dia di tempat suci-Mu di saat aku ingin melupakannya. Kau mengingatku kembali saat aku ingin melenyapkannya daripada fikiranku. Andai benarlah dia adalah untukku, aku reda Allah, bisiknya penuh kesyahduan dengan penuh kesyukuran.
Dia mengambil sebatang pena dan menulis di atas sehelai kertas.

Ke hadapan Ustaz Hafiz,
Ustaz Hafiz yang diingati selalu. Terima kasih di atas warkah ini. Diri ini bersyukur kerana Allah masih memberikan ruang untuk diri ini kembali ke pangkal jalan. Dengan hidayah dan kasih sayangnya, diri ini dapat memijak bumi yang mendamaikan ini.
Pasal pertanyaan Ustaz tadi, saya sudah mendapat jawapannya. Sukar tetapi saya pasti. Buat musafir kelana, taman hati ini mengharapkan keharuman siraman air mawar dari cangkir hati tuan hamba.
Sekian sahaja,
Nurul Izzati

Kebahagiaan
Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Matahari memancar indah. Burung-burung berkicauan sambil bertasbih di luar bangunan Masjid Al-Istiqamah. Seolah-olah menyambut kehadiran dua mempelai yang akan diijabkabulkan sebentar lagi.
Nurul Izzati kelihatan mempesona dengan jubah putih bersulam mewah di kaki kain. Tudung daripada fabrik sutera sifon dengan layah putih labuh sulaman labuci jingga dan putih berkilat menyerlahkan lagi kelembutan dan kejelitaannya.
Ustaz Hafiz juga kelihatan segak dengan baju Melayu jingga dan kain pelekat yang keemasan serta songkok yang agak kemas.
Dua mempelai ini cukup membuatkan para tetamu terpegun.
Acara pernikahan dilangsungkan di depan mihrab masjid. Sebelum akad nikah dimulakan, Ustaz Ali membacakan khutbah nikah. Khutbah yang singkat dan padat, namun membuatkan hati Nurul Izzati bergetar hebat.
Setelah itu, kadi Ustaz Muhammad terus memimpin seluruh hadirin untuk beristighfar menyucikan hati dan jiwa.
Ustaz Hafiz menitiskan air mata, hatinya bahagia. Belum pernah dia merasa suasana indah seperti ini. Ustaz Muhammad menjabat tangan Ustaz Hafiz erat, lalu mewakili wali menikahnya dengan Nurul Izzati. Dengan suara yang yakin dan mantap:
“Aku terima nikahnya dan mengahwininya (Nurul Izzati binti Said) untuk diriku dengan mahar yang telah disebut tadi secara spontan, di atas manhaj kitab Allah dan Sunah Rasulullah!”
Spontan hadirin mengucapkan alhamdulillah. Nurul Izzati menitiskan air mata tanda terharu. Sah kini dia sudah dimiliki Ustaz Hafiz.
Ketika mata mereka bertemu, dia memberikan senyuman manis ke arah suaminya.
Jiwanya terasa cukup tenang. Dalam gerbang tazwij, dia bertekad menjadi isteri yang solehah untuk suaminya.

Showing 1 - 1 of 1
 

Today: 2010-09-05, 13:00PM (All times are GMT +08:00)


Main Page
Biodata
Facets
Novel
Puisi / Poetry
Cerpen / Short Story
Teater / Theatre
Seminar Slides
W.R.I.T.E Club
Renungan / Musing
Trivia
 

 
Email a friend this page




Send
|| Main Page  ||  Contact Isa  ||  W.R.I.T.E. Club  ||  Quest  ||  Soul  ||  Secrets  ||  Musing || Sign In || 
2003-2010 SUKMAISA CONCEPT POWERHOUSE. All Rights Reserved.